Make your own free website on Tripod.com

& PANDUAN MENGARANG / MENULIS

Sebelum membuat sesuatu karangan , kita hendaklah memilih dan memahami tajuk atau kehendak soalan karangan itu. Selepas itu kita fikirkanlah pula tentang :

a) Pengenalan

b) Isi-isi dan

c) Penutup

A. Pengenalan

          Setiap karangan mestilah mempunyai pembukaan atau pengenalan. Dalam pengenalan kita hendaklah memperkenalkan sesuatu perkara atau tajuk yang mungkin pembaca tidak tahu atau faham. Kita hendaklah menarik perhatiannya supaya ingin membaca karangan itu. Pengenalan ini dibuat secara ringkas dan am sahaja, memadai tiga atau empat ayat. Pembukaan karangan yang menarik akan meninggalkan kesan yang positif dan mendalam pada pemeriksa. Oleh itu pastikanlah terlebih dahulu pembukaan karangan hendaklah bersih daripada kesalahan tatabahasa atau ejaan.

B. Isi

          Isi hendaklah mengikut kehendak tajuk karangan itu. Karangan perlu mempunyai empat isi. Isi yang lebih tidak mengapa tetapi mungkin menyebabkan kekurangan masa. Isi hendaklah disusun dengan teratur dan berkait di antara satu dengan lain. Isi-isi itu dipecahkan dalam perenggan-perenggan. Isi yang utama didahulukan. Sebaik-baiknya satu isi, satu perenggan kecuali jika isi pendek-pendek dan berkait rapat. Tiap-tiap perenggan tidak semesti sama panjangnya. Mungkin sesuatu perenggan itu lebih panjang daripada perenggan yang lain. Ini kerana sesuatu isi utama yang ingin ditekankan oleh murid-murid biasanya lebih panjang daripada perenggan yang lain. Jaga isinya supaya tidak terkeluar dari tajuk yang dikehendaki. Elakkan menyertakan isi yang bercanggah dengan tajuk. Isi karangan hendaklah asli tidak ditiru bulat-bulat dari karangan lain. Untuk mendapat isi yang baik dan banyak, kita hendaklah banyak membaca surat khabar, majalah-majalah, makalah-makalah, rencana-rencana, buku-buku cerita, mendengar sesuatu, menyaksikan sendiri dan dari pengalaman sendiri. Jangan campur adukkan isi. Elakkan daripada menulis sesuatu isi dalam perenggan yang sama. Catatkan setiap isi sebelum menulis.

Tip

Antara kaedah mencari isi

Kaedah I ( pertanyaan )                         Kaedah II ( peta minda )

Apa ?

Siapa ?

Bila ?

Mengapa ?

Di mana ?

Bagaimana ?

C. Penutup

          Kalau pengenalan dapat mempengaruhi atau menarik minat pembaca untuk mengikuti karangan tersebut maka penutupnya juga hendaklah memberi suatu kepuasan kepada pembaca. Penutuplah yang menjadi kesimpulan / rumusan atau akhiran sesuatu karangan. Dalam penutup digambarkan juga pendapat kita dengan ringkas tentang sesuatu perbincangan atau tajuk. Elakkan menamatkan karangan secara mengejut atau tergantung. Oleh itu penutup juga adalah penting dalam tiap-tiap karangan.