Karangan Jenis Melengkapkan Cerita
1. karangan tidak berformat
2. berkebolehan membuat ramalan berdasarkan permulaan atau akhir cerita yang diberi
3. berbentuk cerita, khayalan, pengalaman, ataupun kehidupan binatang.
4. elakkan terpesong tema cerita lain daripada tema yang diberi
5. memahami maksud cerita yang diberi dan mempunyai gambaran yang jelas tentang sesuatu cerita itu.
6. setiap cerita mempunyai nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, tolong-menolong, kasih sayang atau apa saja yang boleh membawa pengajaran.
7. walaupun cerita hanya rekaan, tetapi cerita itu mesti boleh diterima akal.
A. Sudahkan cerita di bawah ini.
Saya mengayuh basikal agak perlahan. Walaupun lampu elektrik menerangi jalan, tetapi saya perlu berhati-hati. Saya bimbang termasuk lubang atau terbabas ke dalam parit. Sambil mengayuh, saya sempat berbual dengan Ahmad yang duduk di belakang. Tiba-tiba saya ternampak susuk tubuh manusia menuju belakang balai raya. Tanpa membuang masa ………
Tanpa membuang masa , saya memberhentikan basikal. Ahmad kehairanan, tetapi saya segera memberitahunya. Ahmad faham. Basikal saya baringkan di tepi jalan raya.
Tiba-tiba saya terdengar cermin pecah. Saya yakin sudah tentu lelaki itu seorang pencuri. Dua bulan lalu kaset dan pinggan mangkuk dicuri orang. Mungkinkah kejadian yang sama akan berulang ?
Pencuri itu mesti ditangkap, kata hati saya. Saya meminta Ahmad mengawasi pencuri itu kerana saya hendak ke rumah Tuk Ketua. Tetapi sebelum sampai di rumah Tuk Ketua, saya nampak ramai orang baru keluar dari masjid. Salah seorang daripadanya ialah Tuk Ketua. Saya masuk ke perkarangan masjid. Di situ saya segera ceritakan apa yang saya lihat. Tuk Ketua segera memberi taklimat . Kemudian mereka segera bergerak menuju ke balai raya.
Sampai di balai raya, seramai lima orang menuju ke bahagian belakang dan sebahagian lagi menjaga bahagian kiri, kanan dan depan. Mereka melangkah serentak merapati balai raya. Lelaki di dalam balai raya itu perasan, tetapi tidak sempat melarikan diri. Lelaki itu akhirnya dapat ditangkap. Kemudian Tuk Ketua mengucapkan terima kasih kepada saya dan Ahmad.
B. Lengkapkan cerita di bawah yang berakhir dengan ayat berikut :
………. Bila kubuka mata, aku melihat ayah dan ibu berada di sampingku. Perempuan yang berwajah ngeri itu telah pergi.
Pada malam itu, aku berseorangan di rumah. Ayah dan ibu masih belum pulang. Di luar, hujan turun dengan lebat, kilat sabung-menyabung.
Aku toleh ke arah jam usang di dinding. Rupa-rupanya sudah hampir pukul satu pagi. Aku semakin risau kerana bayang ayah dan ibuku masih belum kelihatan.
Tiba-tiba kedengaran ketukan bertalu-talu di pintu hadapan. Aku bergegas membuka pintu. Sebaik sahaja pintu terkuak, alangkah terkejutnya aku kerana seorang perempuan bertudung hitam berada di situ. Wajahnya amat mengerikan.
Dia memandang tajam ke arahku. Peluh dingin mula keluar dari badanku. Dia cuba menerkamku. Belum sempat dia menyambar tubuhku, aku menendang badannya lalu tersungkur ke tanah. Aku menutup pintu. Tiba-tiba matu kabur. Aku terus terjatuh. Bila kubuka mata , aku melihat ayah dan ibu berada di sampingku. Perempuan yang berwajah ngeri itu telah pergi.