Karangan Jenis Laporan.

 

·         Karangan jenis ini menghendaki anda melaporkan sesuatu peristiwa yang didengar atau dilihat.

·         Hendaklah disampaikan dengan tepat dan mudah difahami.

·         Dalam membuat karangan berbentuk laporan , kamu hendaklah menggunakan butir-butir yang munasabah atau lojik.

·         Kamu perlu memastikan jenis laporan, sama ada laporan aktiviti persatuan, perayaan, sambutan, perasmian, atau lawatan ke sesuatu tempat.

·         Untuk laporan aktiviti persatuan sertakan nama ahli jawatankuasa, sejarah penubuhan, jumlah ahli, dan aktiviti sepanjang tahun. Pelapor mesti berjawatan setiausaha.

·         Untuk laporan lawatan pula , tulis apa yang dilihat, dirasa, dan dialami serta kesan lawatan terhadap pembelajaran.

·         Penulisan mengikut perkembangan peristiwa, yang dahulu didahulukan.

·         Gunakan bahasa yang ringkas dan padat. Huraian tidak diperlukan dalam laporan.

·         Format laporan seperti di bawah :-

Tajuk Laporan             : Ditulis dengan huruf besar pada setiap awal kata dan digaris.

atau ditulis dengan huruf besar semuanya. Tajuk hendaklah ditulis   

ditengah-tengah.

                                    : Boleh ditulis dalam dua baris jika tajuk tertalu panjang.

Isi Laporan                  : Bermula dengan pendahuluan dan diakhiri dengan penutup.

Pengakuan pelapor      : Ditulis di sebelah kiri selepas perenggan terskhir.

Tarikh                          : Ditulis di sebelah kanan laporan,setentang dengan pengakuan pelapor.

Tandatangan pelapor   : Ditulis di sebelah kiri bahagian bawah selepas pengakuan pelapor.

Nama Pelapor               : Ditulis dengan huruf besar di dalam kurungan selepas tandatangan.

Jawatan Pelapor         : Ditulis di sudut kiri bahagian bawah laporan dan dibubuh tanda koma  di 

  hujungnya .

Seterusnya                  : ditulis nama persatuan yang diwakili

 

CONTOH KARANGAN

Soalan : Andaikan bahawa anda setiausaha sesuatu persatuan di sekolah anda.Anda dikehendaki menyediakan laporan tentang kegiatan-kegiatan yang telah dijalankan oleh persatuan tersebut .Sediakan laporan itu selengkapnya.

 

Pendahuluan:

penubuhan persatuan-anggota persatuan-tujuan penubuhan

Isi

a)         kegiatan-peraduan menulis esei tentang sains-pemenang

b)         ceramah -pensyarah dari USM

c)         gotong-royong-membersihkan kawasan sekolah

d)         lawatan ke Taman Ular

Penutup

-berterima kasih kepada guru penasihat.

 

 

Laporan Kegiatan Persatuan Matematik Dan Sains Sekolah Kebangsaan Darau.

 

            Persatuan Matematik dan Sains dibentuk pada tahun 1982. Anggota-anggota persatuan ini berjumlah 60 orang.Mereka terdiri  daripada pelajar Tahun Empat hingga Tahun Enam.Persatuan ini dibentuk untuk meningkatkan taraf pencapaian pelajar dalam matapelajaran Sains dan Matematik.Selain itu ,melalui persatuan ini,pelajar dapat bertukar-tukar pendapat tentang pelajaran masing-masing.

            Persatuan ini telah menjalankan beberapa kegiatan sepanjang tahun 1995. Kegiatan-kegiatan tersebut berbentuk akademik dan bukan akademik.Kegiatan pertama yang kami jalankan ialah”Peraduan Menulis Esei Tentang Sains”.Sambutan yang diberikan terhadap peraduan ini adalah sangat menggalakkan. Peraduan ini dimenangi oleh Suriani Mat Zin, pelajar Tahun Enam Mawar.

            Kami juga menganjurkan ceramah tentang sains dan matematik .Ceramah ini disampaikan oleh pensyarah dari Universiti Malaysia.Selain itu ,kami turut mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah.Kami memeperindahkan kawasan taman pra dengan menanam berbagai jenis bunga dan menamakan  pohon-pohon tersebut mengikut istilah sains.

            Pada cuti penggal kedua persekolahan,kami mengadakan lawatan ke Taman Ular di Batu Pahat. Sebagai hasil lawatan ini,kami banyak memperolehi pengetahuan tentang penyelidikan yang dijalankan oleh pihak Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia di situ.

            Pada keseluruhannya,kami berpuas hati dengan kegiatan-kegiatan yang kami jalankan .Kami juga berterima kasih  kepada guru penasihat,Cikgu Rosimi Jaafar yang banyak memberikan bimbingan kepada kami.

 

Disediakan oleh,                                                                                    25 Januari 1996

 

      Azmi

_______________

(AZMI SULAIMAN)

Setiausaha Persatuan Matematik dan Sains

Sekolah Kebangsaan Darau,Jerteh,Terengganu.

 

 

- mesti ditulis mengikut format ( jika tersalah format,         - tolak 3 markah )

a]       tajuk / perkara   ( jika tiada                                       - tolak 1 markah )

b]       nama pelapor     ( jika tiada                           - tolak 1 markah )

- boleh ditulis dalam bentuk karangan biasa / catatan

 

Soalan : Sekolah anda telah mengadakan Kempen Penggunaan Bahasa Baku. Anda sebagai setiausaha Badan Pengawas Sekolah diminta membuat laporan tersebut.

 

 

            LAPORAN KEMPEN PENGUNAAN BAHASA BAKU

 

            Pada 15 hingga 22 Febuari 1997 , Sekolah Kebangsaan Darau telah mengadakan Kempen Penggunaan Bahasa Baku. Kempen ini telah dilancarkan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Besut , Encik Ahmad Harif.

            Tujuan kempen ini diadakan adalah untuk meluaskan pengunaan bahasa baku di kalangan murid-murid. Di samping itu, kempen ini juga bertujuan untuk memupuk minat pelajar mendalami bahasa kebangsaan.

            Sempena kempen ini, pelbagai acara menarik telah dijalankan. Bagi murid-murid Tahun 4, 5 dan 6 pertandingan syarahan, perbahasan, mengarang esei telah dianjurkan. Manakala bagi murid-murid Tahun 1, 2, dan 3 pula diadakan pertandingan membaca sajak dan bercerita.

            Pada hari penutup, Tuan Guru Besar melahirkan rasa kesyukuran kerana kempen ini telah berjalan dengan lancar. Para pemenang setiap pertandingan telah diberi hadiah berupa wang tunai dan sijil penghargaan.

 

Disediakan oleh,

 

   Osman

……………………

( OSMAN BIN JUSOH )

Setiausaha,

Badan Pengawas,

Sekolah Kebangsaan Darau, Jerteh.