Karangan Jenis Cereka / Pengalaman / Keperihalan / Gambaran / Situasi

 

1.       Memerlukan kekuatan imaginasi dan daya kreatif yang tinggi.

2.       Sesuatu yang ditulis itu mungkin berdasarkan pengalaman , pembacaan, atau perbualan.

3.       Cerita yang hendak ditulis hendaklah berdasarkan tajuknya.

4.       Cuba menulis cerita yang dapat menarik minat pembaca. Olahan cerita hendaklah disusun secara teratur supaya kesan ceritanya menarik dan baik.

5.       Jangan terlalu ghairah mereka-reka cerita yang terlalu banyak khayalan kerana ini akan menyebabkan kamu tidak dapat menyampaikan maksud dengan jelas.

6.       Jangan menulis sampai meleret-leret, berhati-hatilah dengan peruntukkan masa yang diberikan

7.       Elakkan daripada memberikan sebarang pendapat. Tamatkan cerita itu dengan tidak memberikan apa-apa ulasan.

 

CONTOH KARANGAN

cereka

Soalan : Suatu hari ketika kamu tinggal sendirian di rumah, kamu telah dikejutkan oleh suara riuh-rendah. Apabila kamu menjenguk ke luar, kamu dapati asap berkepul-kepul naik ke angkasa dari rumah jiran kamu. Ceritakan peristiwa yang kamu saksikan itu.

 

 

Pengenalan                   -tinggal sendirian

                        -baca buku cerita

Perenggan ke-2 -mendengar suara riuh-rendah

                                    -menjenguk ke luar

                                    -suatu kebakaran berlaku

Perenggan ke-3 -ramai orang mula berkumpul

                                    -cuba membantu memadamkan kebakaran

                                    -membantu memunggahkan barang

Perenggan ke-4 -aku terus menelefon pihak bomba

                                    -ahli-ahli bomba tiba

Penutup                        -kebakaran dapat dikawal

                                    -berasa sungguh gembira

 

 

            Pada hujung minggu yang lepas, saya terpaksa tinggal sendiran di rumah kerana ibu bapa sayapergi ke tempat kenduri kahwin. Untuk menghilangkan rasa jemu, saya membaca sebuah buku cerita.

            Ketika saya leka membaca , tiba-tiba saya terdengar suara riuh-rendah meminta tolong. Saya segera menjenguk ke luar. Alangkah terkejutnya saya apabila saya dapati asap berkepul-kepul keluar dari rumah jiran saya. Suatu kebakaran telah berlaku.

            Orang ramai mula berkumpul di situ. Ada yang cuba memadamkan kebakaran dan ada yang menolong memunggahkan barang-barang. Saya mulai berasa bimbang kalau-kalau api itu merebak ke rumah saya.

            Tanpa berlengah-lengah lagi , saya terus menelefon pihakbomba. Sepuluh minit kemudian, anggota bomba pun tiba di situ.

            Ahli-ahli bomba telah bertungkus-lumus memadamkan api tersebut. Akhirnya kebakaran itu dapat dikawal daripada merebak. Saya berasa gembira kerana rumah saya terselamat daripada kebakaran tersebut.

 

pengalaman

Soalan : Tulis satu karangan yang bertajuk ‘ Pengalaman yang Tidak Dapat Dilupakan’

 

            Pada tahun lalu, aku menghabiskan cuti persekolahan di kampung bersama datuk dan nenek.

            Pada suatu malam , aku pergi ke rumah Ludin, teman lamaku. Oleh kerana sudah lama tidak berjumpa, kami seronok bercerita. Bila aku sedar malam sudah larut, aku bergegas pulang.

            Dalam perjalanan pulang, hatiku tiba-tiba berasa cemas. Walaupun telah lama berjalan, rumah nenek masih juga tidak kelihatan. Aku memandang ke kiri dan ke kanan. Tidak ada sebuah rumah pun di situ. Bulu romaku berdiri tegak. Barulah aku sedar, rupanya aku tersesat jalan.

            Tiba-tiba di satu selekoh, aku terpandang satu lembaga menuju ke arahku. Aku berasa amat takut sekali. Aku cuba membuka langkah. Tetapi belum sempat aku melangkah, kakiku terpijak benda tajam, lalu terjatuh. Kemudian, aku tidak sedarkan diri.

            Bilaku membuka mata, kulihat aku sudah berada di rumah datuk. Menurut nenek, datuk menemuiku terbaring di tengah jalan ketika keluar mencariku. Aku menceritakan kepada mereka apa yang terjadi. Datuk dan nenek tersenyum sesama sendiri. Rupa-rupanya lembaga yang aku takutkan itu adalah datukku sendiri.

 

situasi

Soalan : Keputusan UPSR telah diumumkan . Anda mendapat keputusan yang cemerlang. Bagaimanakah perasaan anda ?

 

            Saya bersyukur dan bertuah kerana usaha saya selama ini telah pun berhasil. Saya membuat persiapan rapi untuk peperiksaan ini semenjak awal tahun lagi.

            Kejayaan ini juga merupakan kejayaan ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan saya. Ini kerana dorongan dan bimbingan daripada mereka menjadi kunci kejayaan saya.

            Saya juga berasa bangga kerana mampu membuktikan kepada orang ramai bahawa seorang anak kampung daripada keluarga miskin dapat juga berjaya. Saya sedar kemiskinan bukanlah penghalang untuk seseorang itu mencapai kejayaan.

            Saya berharap kejayaan ini akan menjadi pendorang kepada adik-adik saya. Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh untuk peperiksaan yang lain.