Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris bukan saja menyebabkan bahasa Melayu akan merosot, khususnya dalam bidang sains dan teknologi (S&T) di peringkat menengah atas dan pendidikan selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), malah skop penggunaannya juga menjadi terhad.
Walaupun bahasa Melayu kekal sebagai bahasa pengantar di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT), tetapi peranan dan keupayaannya sebagai bahasa ilmu moden termasuk S&T terbantut, selain turut menjejaskan usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang sudah pun membangunkan lebih 800,000 istilah dan 200,000 buku pelbagai judul.
Selain itu, mata pelajaran berbahasa Melayu di peringkat SPM akan berkurangan, iaitu tinggal 19 mata pelajaran atau 29 peratus, berbanding 66 mata pelajaran sebelumnya, manakala subjek menggunakan bahasa Inggeris meningkat kepada 71 peratus.
Dr Awang Sariyan dan Kamal Shukri Abdullah Sani dari Persatuan Linguistik Malaysia dalam kertas kerja bertajuk 'Kesan Penggunaan Bahasa Inggeris Dalam Pengajaran Sains dan Matematik di Institusi Pendidikan di Malaysia' yang dibentangkan pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Keenam, di Tanjung Malim, Perak, berkata senario itu membimbangkan banyak pihak, khususnya golongan cendekiawan Melayu.
Berdasarkan kajian dijalankan, mereka berkata, kenyataan bahawa hanya dua mata pelajaran terbabit dengan pengajaran dalam bahasa Inggeris iaitu Sains dan Matematik, adalah benar di peringkat sekolah rendah dan menengah rendah.
Kajian itu dijalankan secara kualitatif dan didasarkan kepada jadual waktu sebenar institusi pendidikan, maklumat kursus, yang ditawarkan fakulti di universiti, senarai mata pelajaran peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM, pekeliling Ikhtisas Bilangan 7/1994 dan temu bual.
Mereka berpendapat pendekatan yang dicadangkan, iaitu mengajar Sains dan Matematik menggunakan bahasa Inggeris kurang tepat, bagaimanapun berkata usaha meningkatkan penguasaan bahasa asing, termasuk bahasa Inggeris adalah tindakan yang baik sebagai persediaan mencapai wawasan negara.
Sehubungan itu, kedua-dua pembentang, itu berpendapat pendekatan, kaedah dan prinsip mempelajari bahasa Inggeris dipertingkatkan seperti membaiki kaedah pengajaran bahasa itu di institusi pendidikan yang ternyata tidak mencapai matlamatnya dan kegagalan dalam sesuatu mata pelajaran tidak seharusnya membabitkan subjek lain.
Mereka berkata, Kementerian Pendidikan juga perlu menambah kemudahan bahan bantu pengajaran bahasa Inggeris, termasuk penggunaan teknologi, terkini, selain menyedia atau menambah serta membaiki segala kemudahan makmal bahasa.
"Masalah pelajar gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik juga disebabkan waktu pembelajaran yang singkat dan terhad. Oleh itu, dicadangkan masa atau jadual waktu mata pelajaran berkenaan di tambah, sesuai dengan peringkat peperiksaan.
"Kerajaan disarani mewajibkan pelajar PMR mendapat kepujian dalam bahasa Inggeris dan pelajar SPM sekurang kurangnya mendapat kepujian C6 sebagai syarat memasuki Tingkatan Enam, matrikulasi, maktab perguruan dan sebarang kursus peringkat diploma atau ijazah," kata mereka.
Katanya kerajaan boleh melaksanakan cadangan pengajaran dua mata pelajaran itu menggunakan bahasa Inggeris asalkan tidak mengorbankan dasar atau menafikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu moden, iaitu ilmu S&T.
Menurut mereka lagi, pembudayaan S&T dalam bahasa Melayu memerlukan keyakinan, iltizam, dan usaha yang bersungguh-sungguh serta berterusan oleh semua pihak.
"Bahasa Inggeris, bahasa Jerman, bahasa Jepun, bahasa
Korea dan bahasa maju yang lain terbina dalam tempoh yang cukup panjang sebaliknya
bahasa Melayu telah berjaya
dibangunkan sebagai bahasa sains dan teknologi, dan mencapai kemajuan seperti
sekarang hanya dalam tempoh kira kira 40 tahun saja,"katanya.
Oleh Tamrin Anuar